Bakteria E-Coli Dalam Biskut China

KENYATAAN AKHBAR
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
STATUS TERKINI PENCEMARAN BAKTERIA COLIFORM DALAM
BISKUT BERAS DARI NEGARA CHINA

Kenyataan akhbar China Online Press bertajuk “Want Want crackers coliform bacteria were found to the recent inventory of major food safety incidents” bertarikh 4 Ogos 2010 adalah dirujuk.
Berita berkenaan melaporkan bahawa Pihak Berkuasa Negara China telah mengesahkan terdapatnya pencemaran bakteria coliform di dalam produk biskut beras (rice cracker) berjenama Want Want yang dikilangkan di daerah Shandong, China. Coliform dan Escherichia coli (E.coli) adalah sejenis bakteria yang merupakan petunjuk tahap kebersihan. Sebahagian E.coli adalah berbahaya (pathogenic) kepada kesihatan dan boleh menyebabkan jangkitan kepada usus dan saluran air kencing. Adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 untuk seseorang menyedia atau menjual makanan yang beracun, berbahaya atau boleh menjejaskan kesihatan di mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000.00 atau penjara tidak melebihi tempoh 10 tahun atau kedua-duanya.

Di bawah Peraturan 39, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 menyatakan bahawa, pengimportan, penyediaan makanan sedia dimakan yang dicemari oleh mikroorganisma
patogenik adalah dilarang. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil tindakan awal dengan menghubungi pihak pengimport yang mengesahkan bahawa produk biskut beras yang diimport ke negara ini adalah dari syarikat Guangzhou Big Want Food Limited yang mengeluarkan produk tersebut di kilangnya sendiri yang terletak di Guangzhou, China.

Berdasarkan maklumat tersebut, ternyata bahawa produk yang dinyatakan di dalam laporan China Online Press tersebut tidak diimport ke negara ini. Maklumat ini telah turut disahkan oleh Pihak Berkuasa Negara China, General Administration of Quality Supervision, Inspection and Quarantine of the People’s Republic of China (AQSIQ).

Walau bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, sukacita dimaklumkan bahawa KKM telah mengenakan tindakan Pemeriksaan Tahap 5 (Tahan, Uji dan Lepas) bagi analisa coliform dan E.coli kepada semua produk biskut beras yang diimport dari negara China mulai 4 Ogos 2010 melalui Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) di mana produk akan ditahan terlebih dahulu, sampel diambil untuk dianalisis dan produk hanya akan dilepaskan
selepas didapati ianya mematuhi. Disamping itu, KKM telah mengarahkan beberapa Jabatan Kesihatan Negeri untuk mengambil sampel produk tersebut secara rawak di 3 pasaran tempatan untuk analisis coliform dan E.coli. Setakat 10 Ogos 2010, sebanyak 24 sampel dilaporkan telah diambil di negerinegeri terlibat di mana semua keputusan analisis yang diperolehi menunjukkan bahawa tiada pencemaran coliform dan E.coli dalam semua sampel tersebut. Oleh yang demikian, KKM telah menurunkan tahap pemeriksaan produk biskut beras berjenama Want-Want kepada Pemeriksaan Tahap 4 (Surveillan) di mana sampel perlu diambil untuk dianalisis dan produk dilepaskan.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna. Dengan penguatkuasaan yang bersungguh dan berterusan di pasaran tempatan dan setiap pintu masuk negara, KKM memberi jaminan kepada penduduk Malaysia bahawa tahap keselamatan dan kualiti makanan yang masuk ke negara ini adalah pada tahap yang terkawal. Selain itu, orang ramai boleh mendapatkan maklumat berhubung aktiviti kawalan keselamatan dan kualiti makanan yang dijalankan oleh KKM di laman web http://fsq.moh.gov.my.

DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
10 Ogos 2010
powered by Blogger | WordPress by Newwpthemes | Converted by BloggerTheme - Taksim hotels